SULTAN JOHOR DAN TUNKU MAHKOTA JOHOR DIMASYHURKAN SEBAGAI CANSELOR DAN PRO CANSELOR KUIJSI
DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan dimasyhurkan sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) pada Majlis Konvokesyen KUIJSI Ke-21 pada hari ini (13 Disember).
Pada majlis yang sama, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, telah dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor KUIJSI.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani turut dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor turut menyaksikan Pemasyhuran Naik Taraf Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) sebagai Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) yang disempurnakan oleh DYMM Tuanku Canselor.
Pemakluman Naik Taraf Kolej telah disempurnakan oleh Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Sementara itu, Dato’ Onn Hafiz dalam ucapan aluannya berkata, Negeri Johor sangat bertuah bernaung dibawah DYMM Sultan Ibrahim yang sentiasa meletakkan keutamaan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.
“Kesultanan Johor seawal 1902 telah menitikberatkan pendidikan termasuk pendidikan agama. Pada tahun 1902, peraturan telah dikeluarkan mewajibkan pendidikan diberikan kepada kanak-kanak seawal usia 7 tahun.
“Kesultanan Johor memandang bahawa Pendidikan Islam bukanlah hanya bersifat keagamaan semata-mata tetapi juga meliputi keseluruhan aspek kehidupan,” katanya
Bersempena Majlis Konvokesyen KUIJSI Ke-21, Baginda Tuanku Canselor juga berkenan menyampaikan Anugerah Canselor kepada saudari Nurul Shafiqah Mohd Azman.
Seramai 508 graduan menerima sijil diploma pada Konvokesyen KUIJSI Ke-21 pada hari ini.
#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor
Sumber :-
Facebook Page Rasmi – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar